Thursday, January 6, 2011

Bekas eksekutif akuan bank didakwa guna cek, borang permohonan kiriman wang palsu


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SHAH ALAM: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menggunakan cek dan borang permohonan kiriman wang yang palsu membabitkan nilai kira-kira RM5.2 juta bagi pemindahan wang melalui transaksi Internet, dua tahun lalu.
Yusma Norul Yusob, 30, dari Taman Sri Mentari, Petaling Jaya, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.
Tertuduh didakwa menggunakan tiga keping cek CIMB Bank Bhd bernilai RM30,000, RM18,500 dan RM10,000 serta menggunakan lima keping 'Borang Permohonan Kiriman Wang' yang palsu di premis CIMB Bank Bhd cawangan Menara MRCB, No: 2, Jalan Majlis, Seksyen 14 di sini, antara 1 April dan 24 April 2009.

Yusma yang ditangkap semalam didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya S Lavainyamalar yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin berjumlah RM1 juta dengan dua penjamin dengan alasan kesalahan tertuduh serius kerana membabitkan nilai kira-kira RM5.2 juta.

Peguam Saleh Ahmad yang mewakili tertuduh pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja selepas diberhentikan dan keluarganya yang hanya membuat kerja-kerja kampung tidak mampu menyediakan wang jaminan sebanyak itu.

"Anak guam saya tidak pernah memperolehi wang RM5.2 juta tersebut kerana
pembayaran melalui transaksi Internet itu adalah kepada pihak ketiga. Beliau
juga mempunyai masalah kesihatan dan perlu membuat pemeriksaan kesihatan dari
semasa ke semasa," katanya.

Wan Mohd Norisham kemudian membenarkan Yusma dibebaskan dengan jaminan
RM100,000 serta dua penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai
polis terdekat setiap bulan sekali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah
sehingga kesnya selesai dan menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan penyerahan
dokumen. - Bernama

Sumber : My Metro

No comments:

Post a Comment