Tuesday, January 18, 2011


Call of Duty vs Medal of Honor

Oleh Syah Ismail
Jeremy Clarkson pernah menyebut, "anda bukan seorang petrol head jika anda tidak memiliki sebuah Alfa Romeo". Tetapi dalam dunia permainan video, "anda bukan seorang pemain game sebenar jika tidak pernah mencuba Call of Duty (COD).

Siri COD merupakan permainan video first person shooter (FPS) terlaris buat masa ini dengan jumlah jualan 55 juta seluruh dunia. Jika anda berkunjung ke sebuah kafe siber, majoriti pelanggan akan bermain COD. Ini merupakan sebab utama permainan video ini begitu berjaya.

Tetapi COD bukanlah satu-satunya FPS yang berlatar-belakangkan peperangan dunia.

Medal of Honor yang muncul dahulu sebelum COD. Pada 1999, Steven Spielberg dengan bantuan DreamWorks Interactive dan Electronic Arts (EA) melancarkan Medal of Honor untuk PlayStation. Dengan kejayaan filem Saving Private Ryan tahun sebelumnya, Spielberg membawa masuk elemen Perang Dunai kedua ke dalam Medal of Honor. Peminat filem Spielberg dapat menghayati dan terlibat secara langsung dalam Perang Dunia kedua apabila mereka bermain sebagai salah seorang askar dalm Medal of Honor. Medal of Honor begitu berjaya sehingga Infinity Ward dan Activision memperkenalkan COD pada 2003 untuk bersaing dengan Medal of Honor.

Tidak banyak perbezaan dapat dikatakan tentang Medal of Honor dan COD. Hanya jalan cerita dan gameplay sahaja yang berbeza sehinggalah pada 2007 apabila COD beralih kepada peperangan moden dengan pengenalan Call of Duty: Modern Warfare. Pengenalan Modern Warfare diterima dengan begitu baik oleh para gamer terutama sekali multiplayer. Ia seakan-akan seperti tahun 1999 apabila Counter Strike mula membuat penampilan di kafe siber seluruh dunia. Senjata moden dan kawasan peperangan yang realistik merupakan formula yang ditunggu-tunggu para gamer. Activision terus menyahut permintaan para gamer dengan mengeluarkan siri baru setiap tahun untuk COD dengan Modern Warfare 2 dan yang terbaru Black Ops.

Baru-baru ini juga, EA dengan bantuan DICE akhirnya menghidupkan semula Medal of Honor. Kali ini, peperangan di Afghanistan menjadi latar belakang permainan video ini. Keputusan itu telah menarik banyak kritikan terutama sekali daripada pegawai rasmi tentera yang terlibat dengan peperangan di Afghanistan. Medal of Honor telah diharamkan di semua kem tentera Amerika kerana multiplayernya membolehkan pemain bermain sebagai tentera Taliban. EA berkata dalam setiap permainan video pasti terdapat pihak musuh. Tidak kira sama ada pihak musuh itu seorang perompak, lanun, makhluk asing atau Taliban. Perdebatan hebat ini telah berlarutan sejak permainan video yang diklasifikasikan sebagai "Mature" oleh Entertainment Software Rating Board (ESRB) mula membuat penampilan di kalangan gamer. Tetapi topik ini akan dibincangkan pada masa akan datang.

Sekarang kita kembali kepada topik asal perbincangan.

Sejak tiga tahun lalu, COD telah menjadi raja segala permainan video FPS multiplayer. Tiada yang dapat memberi saingan kepada COD setelah Medal of Honor tidak diperbaharui. Dalam masa tiga tahun itu, Activision telah mengeluarkan tiga siri COD yang berjaya - Modern Warfare, Modern Warfare 2 dan Black Ops. Ciri-ciri yang paling menonjol dalam COD ialah ganjaran dan kebolehan menaik-taraf senjata. Semua ini diperoleh daripada mengumpul mata pengalaman dengan melengkapkan cabaran. Contohnya, anda boleh memanggil air strike selepas membunuh lima musuh berturut-turut. Anda juga boleh menaik-taraf senjata anda dan macam-macam lagi kombinasi yang terdapat untuk para gamer.

Medal of Honor juga mempunyai sistem ganjaran yang hampir serupa dengan COD. Medal of Honor mempunyai "Score chain" yang hampir serupa dengan "kill streak" dalam COD. Jika anda pernah bermain Battlefield, anda pasti tidak mempunyai masalah bermain multiplayer Medal of Honor kerana ia dibangunkan oleh syarikat yang sama iaitu DICE. Satu ciri yang menonjol dalam Medal of Honor ialah persekitarannya. Peta dan kesan bunyi yang realistik mampu menarik perhatian penggemar FPS. Bunyi letupan dan senjata jauh lebih baik daripada COD.

Bagaimana pula dengan mode single player?

Tiada apa yang dapat dikatakan. Jalan cerita tidak banyak berubah. Wira pergi menjalani beberapa misi untuk menewaskan pihak musuh dengan beberapa kejutan sepanjang perjalanannya dan akhirnya dia berjaya menumpaskan ketua musuh. Mode single player hanya sebagai pemanas badan untuk pertarungan sebenar dalam mode multiplayer. Setelah pemain menghabiskan mode single player, mereka akan hanya tertumpu pada mode multiplayer. Jarang sekali anda mendengar para gamer menyebut tentang misi single player. Mereka hanya akan berbual tentang bilangan kill streak mereka dan perks yang berjaya diperoleh dalam multiplayer mode. Ini yang membuatkan COD begitu popular.

Mengapa EA mengambil masa yang lama untuk memperbaharui Medal of Honor?

Tiga tahun merupakan jangka masa yang lama untuk sebuah siri permainan video yang amat berjaya. EA sepatutnya membawa masuk DICE, syarikat yang membangunkan Battlefield, dari awal peringkat pembangunan Medal of Honor. EA patut belajar sedikit sebanyak daripada Activision yang berjaya memenuhi permintaan peminat FPS setiap tahun dengan permainan video baru. Pembaharuan Medal of Honor telah membolehkan EA kembali bersaing dalam arena FPS. Meskipun kekurangan mode Co-op dan Zombie seperti dalam COD, tetapi ia tetap mampu bersaing dalam mode multiplayer.

No comments:

Post a Comment