Friday, January 28, 2011


Yuna Akui Qi Paling Istimewa Dalam Hidupnya

Yuna Inspired Dedah Dunia Muzik Yuna
Teks Oleh: zyzamani
Foto Oleh: Mazlan Yunos Photography


KUALA LUMPUR 27 JAN 2011: Puas bersembunyi dalam teki-teki, akhirnya penyanyi Yuna mengakui pengacara dan pelakon, Qi Qushairi merupakan insan yang paling istimewa dalam hidupnya.
Yuna yang ditemui portal murai.com.my menganggap, faktor keserasian yang terjalin antara mereka merupakan punca penghubung yang mengeratkan lagi ikatan antara mereka berdua.
"Saya akui dia lelaki paling istimewa dalam hidup saya kini. Memang saya mempunyai ramai kawan lelaki yang berkongsi minat dan muzik tapi jangan salah faham kesemua mereka saya hanya anggap sekadar abang angkat saja," katanya tersipu malu tatkala membuat pengakuan tersebut.
Menyedari ramai yang membuat spekulasi mengenai hubungannya bersama lelaki berusia 34 tahun itu, lafaz Yuna, bukan dia mahu menafikan fakta tersebut namun jujur dia mengakui gusar untuk berkongsi cerita berkenaan memandangkan antara mereka masih lagi dalam fasa mengenali.
"Kami memang sangat rapat dan saya memang tak berapa selesa nak cerita sangat kerana kami masih dalam proses mengenali.Kita tak tahu apa yang akan berlaku di masa depan jadi sebab itu saya takut nak bercerita dan saya juga perlu menjaga nama baik keluarga kami berdua.
"Tapi terus terang saya katakan, sikapnya yang cool dan kami mempunyai minat yang sama membuatkan saya senang berkawan dengan dia," katanya beterus terang.
Menyingkap perkenalan mereka, kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, semuanya berlaku sewaktu mereka sama-sama terlibat dalam program realiti Kamilah Bintang Coca Cola tahun lalu.
Keakraban mereka mula dihidu khalayak sejak kedua-duanya hadir bersama dengan berpakaian sedondon pada Shout Awards, di Bukit Jalil Kuala Lumpur, November tahun lalu.
Malah sejak itu, kedua-duanya acapkali dilihat bersama menghadiri beberapa majlis lain serta di tempat umum.
Menyambung perbualan ucap pemilik nama sebenar Yunalis Zarai ini, dia tidak menolak sekiranya Qi adalah jodohnya.
"Ibu bapa kami dah merestui hubungan ini dan doalah yang terbaik untuk kami. Tapi dalam masa terdekat perancangan untuk kahwin memang masih belum ada memandang saya sangat sibuk dengan projek album dan sebagainya," katanya yang juga akan mengeluarkan jenama pewangi sendiri tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment