Wednesday, January 26, 2011


Kinect digodam

oleh Syah Ismail
Diumumkan secara rasmi pada 1 Jun 2009, dengan kod nama "Project Natal", ia serta merta mendapat perhatian semua peminat permainan video terutama sekali pengikut setia Xbox. Apabila ia dikeluarkan setahun kemudian pada 4 November 2010, semua orang ingin mendapatkan produk terbaru keluaran Microsoft itu.

Sejak dikeluarkan, Microsoft telah menjual 2.5 juta unit Kinect di mana 1 juta daripadanya di jual dalam masa 10 hari. Microsoft menjangkakan jualan Kinect akan mencecah 5 juta pada akhir tahun ini.

Apa yang membuatkan Kinect begitu laris?

Kinect tidak seperti Wii Remote atau PlayStation Move yang hanya dapat mengesan pergerakan tangan. Kinect dapat mengesan pergerakan 3D, pengecaman eksperisi muka dan pengecaman suara. Ia dapat mengesan pergerakan hingga 6 orang secara serentak.

Malangnya, sekarang hanya terdapat beberapa permainan video Kinect di pasaran yang lebih sesuai untuk kanak-kanak. Microsoft telah mengesahkan bahawa pembuat permainan video termasuk Activision Blizzard, Bethesda Softworks, Capcom, Disney Interactive, Electronic Arts, Konami, MTV Games, Namco Bandai, SEGA, Square Enix, THQ Inc., dan Ubisoft dalam proses pembikinan permainan video Kinect.

Sementara menunggu permainan Kinect "sebenar", ada segelintir programmer yang telah berjaya menemui beberapa "kegunaan" lain untuk Kinect. Mereka menyambung Kinect ke komputer Windows mereka dan selepas beberapa ratus rangkap program, mereka berjaya menjadikan Kinect sebuah "web cam" yang canggih.

Salah satu "hack" yang saya amat kagum adalah lightsaber. Programmer tersebut berjaya membuat sebatang kayu biasa menjadi pedang lightsaber real-time dengan kesan bunyi. Ini pasti mendapat perhatian LucasArts dan mungkin akan dimasukkan ke dalam permainan video Star Wars seterusnya. Programmer yang sama juga berjaya mengawal Mario dalam permainan video Super Mario Bros. Semua pergerakan Mario termasuk lompat dan lari dikawal oleh pemain dengan melakukan gerakan yang sama. Ini akan menambahkan tahap interaksi antara pemain dan permainan video.

Terdapat juga "hack" yang tidak melibatkan permainan video. Ada sebuah program yang menggunakan Kinect untuk membolehkan seseorang melayari internet dengan menggunakan pergerakan tangan. Pengguna hanya perlu menggerakkan tangan untuk membuka tab baru dan menggerakkan muka surat ke atas dan ke bawah. Terdapat juga program yang membolehkan pengguna melukis di atas sebuah canvas digital yang besar dan mengubah gambar dengan hanya menggunakan pergerakan jari dan tangan.

Kinect merupakan sebuah produk yang begitu inovatif. Ia hanya dikeluarkan sebulan yang lalu dan telah menunjukkan potensi yang amat besar. Dengan keupayaannya yang menakjubkan, ia pasti akan menjadi pemangkin buat permainan konsol dan komputer peribadi. Mungkin pada masa akan datang kita akan dapat mengawal kereta kita dengan menggunakan Kinect.

No comments:

Post a Comment