Monday, January 10, 2011


Mahathir Puji Kebolehan Siti Nurhaliza Mengacara

Teks Oleh Syafiqah Jalal
Gambar Mazlan Photography

KUALA LUMPUR, 6 JAN 2011: Bila lihat penyanyi tersohor negara, Dato' Siti Nurhaliza menjadi hos dalam sebuah program bual bicara pasti ramai yang tidak percaya dengan kebolehannya kerana sebelum ini dia hanya dilihat lebih hebat menyanyi di atas pentas.
Bukan sahaja ramai yang akan berpendapat sebegitu, malah Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, 86, pun pada awalnya seakan tidak percaya dengan apa Siti lakukan itu.
Namun, akhirnya Mahathir memuji sendiri kebolehan Siti Nurhaliza ketika ditemui selepas rakaman program bual bicara yang berjudul Siti, di studio Filem Negara Malaysia, petang semalam.
"Ini pertama kali saya berjumpa dengan Siti, jika sebelum ini saya selalu dengar Siti menyanyi dan terasa ganjil pula bila saya ditemubual.
"Walaupun pertama kali menjadi pengacara, saya boleh katakan dia agak cekap dan mahir dalam persediaan menyediakan soalan. Dia juga lancar dalam berdialog, jadi saya rasa tenang ketika ditemu bual,"jelas beliau.
Program bual bicara ini bakal bersiaran di Astro Ria, jam 9 malam, bermula 12 Februari 2011. Program yang berlangsung selama sejam ini akan diterbitkan sebanyak 13 episod oleh Global Station Sdn Bhd.
Selain itu, Mahathir juga turut memuji program itu kerana dengan menjemputnya sebagai tetamu program itu secara tidak langsung beliau dapat berkongsi pengalaman hidup dan kejayaannya.
"Bagi saya, program ini merupakan salah satu cara untuk saya sebarkan pengalaman dan pada masa yang sama saya dapat menceritakan apa yang patut diberitahu kepada umum.
"Pendapat-pendapat yang diberikan itu mungkin berguna kepada mereka," katanya yang ingin hadir untuk menyaksikan pementasan teater muzikal Tun Mahathir yang akan berlangsung hujung Januari ini.
Sementara itu, Siti yang tidak menyangka Mahathir sudi menerima jemputannya sebagai tetamu undangan untuk program itu mengakui program tersebut telah menguji dirinya menjadi seorang pengacara yang cekap dalam menyediakan soalan-soalan berbentuk ilmiah.
"Sebelum ini memang saya tidak bersedia bila banyak produksi menawarkan saya menjadi pengacara program, tapi kini saya sudah bersedia dan bersiap sedia untuk bersaing dengan pengacara-pengacara profesional yang ada.
"Pengendalian program bual bicara ini ternyata satu pengalaman yang sangat berguna buat saya. ia agak berbeza kerjanya berbanding menjadi seorang penyanyi. Malah saya turut turun padang untuk melakukan penggambaran.
"Memang agak penat mengendalikan program ini, tapi ia ternyata berbaloi kerana pada masa yang sama juga saya turut menimba ilmu dan pengalaman," katanya yang menjadikan pengacara Hollywood popular, Oprah sebagai inspirasinya.

No comments:

Post a Comment